EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian meninjau kawasan sekitar loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Taman Velox, Rawang, lokasi disyaki berlaku pencemaran bau Sungai Selangor pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor kesal SPAN tidak maklum loji kumbahan IWK tercemar 4 Nov

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri kesal apabila Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) tidak memaklumkan lebih awal pencemaran di loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) sedangkan ia berlaku pada 4 November lalu.

EXCO Alam Sekitar berkata pada tarikh berkenaan, IWK Taman Velox mengesan bahan buangan berwarna merah memasuki kolam mereka.

Hee Loy Sian berkata kemudiannya IWK membuat laporan kepada SPAN bagi membolehkan kerja di loji terbabit dapat dihentikan.

“Operasi di loji tersebut berhenti pada 4 November juga, tetapi saya hairan kenapa Kerajaan Negeri termasuk Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak dimaklumkan perkara berkenaan.

“Jika Kerajaan Negeri tahu lebih awal perkara ini, kita akan bertindak segera bagi mencari kilang atau premis yang lakukan pencemaran ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Loy Sian turut menggesa supaya Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah pencemaran yang kerap berlaku di IWK.

Katanya, ia kerana loji IWK berada di bawah pentadbiran Kementerian Kewangan dan SPAN.

“Mereka perlu buat sesuatu kerana ini sudah kali keempat (pencemaran) berlaku, iaitu dua di IWK Semenyih, satu di Batang Kali dan satu lagi di IWK Taman Velox.

“Ini amat malang, loji rawatan air terpaksa dihenti tugas dan menyebabkan orang Selangor tak dapat bekalan air,” katanya.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang semalam susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat manakala pemulihan bekalan air bermula jam 3 petang hari ini.

 


Pengarang :