Seorang penduduk meredah air menggunakan motosikal untuk melakukan kegiatan harian ketika tinjauan di Kampung Kebun Pisang, Kuala Krai pada 18 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Kelantan lebih 400 orang, Kuala Krai tertinggi

KOTA BHARU, 19 DIS: Sebanyak 18 pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan di Kelantan dan menempatkan seramai 456 mangsa daripada 119 keluarga setakat 11 malam tadi, susulan hujan berterusan sejak Rabu lepas.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak tiga daerah terkesan akibat banjir iaitu Kuala Krai yang mencatatkan bilangan mangsa tertinggi seramai 239 mangsa daripada 59 keluarga dengan sebanyak lapan PPS telah dibuka.

Sementara itu, Tanah Merah membabitkan 149 mangsa daripada 40 keluarga manakala di Pasir Mas melibatkan 68 mangsa daripada 20 keluarga, dengan masing-masing mengaktifkan lapan dan dua PPS.

Berdasarkan laporan publicinfobanjir.water.gov.my pula menunjukkan paras air sungai di tujuh lokasi di Kelantan menunjukkan trend menaik dengan dua daripadanya telah melebihi tahap bahaya setakat bacaan 10.30 malam tadi.

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan paras air mendadak dengan 9.87 meter melepasi tahap bahaya iaitu pada sembilan meter, manakala di Jenob, Tanah Merah merekodkan 23.66 meter melebihi 0.16 meter daripada paras bahaya.

Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah turut menunjukkan trend menaik dengan bacaan 14.94 meter sekali gus melebihi tahap amaran iaitu pada 14 meter.

Sementara itu, empat lokasi berada pada tahap waspada iaitu di Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai serta Limau Kasturi, Gua Musang masing-masing mencatatkan bacaan 32.75 meter dan 57.23 meter, manakala Sungai Pergau di Air Bol, Jeli mencatatkan 72.13 meter dan paras sungai di Kusial Baru, Tanah Merah pula merekodkan bacaan 14.31 meter.

Laman sesawang itu turut memaparkan kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mengeluarkan amaran bahawa banjir dijangka berlaku di beberapa lokasi di Kuala Krai bermula 4 pagi.

Lokasi berkenaan membabitkan Kampung Bedal; Kampung Bukit Sireh; Taman Warisan; Kampung Kuala Petang; Kampung Ngagoh; Kampung Pahi; Kampung Air Duri; Kampung Guchil; Kampung Jirat; Kampung Gatal; Kampung Batu Mengkebang; Kampung Keroh; Kampung Batu Jong dan kawasan sekitarnya.

Cuaca di Kelantan ketika ini masih hujan dengan sesekali lebat, namun tiada laluan utama yang menghubungkan negeri ini ditutup kepada pengguna jalan raya.

-BERNAMA

 


Pengarang :