Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan Saringan Komuniti Bersasar diketahui seawal 8 malam ini

KLANG, 2 DIS: Penduduk Meru yang menjalani Saringan Covid-19 Bersasar secara percuma boleh menyemak keputusan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) seawal jam 8 malam ini.

Pengurus Besar Klinik Selcare Mahdzir Ibrahim berkata keputusan dipapar lebih awal berikutan penggunaan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) semasa proses saringan.

“Enam makmal mudah alih disediakan di lokasi saringan untuk melakukan ujian sampel dan keputusan boleh diperoleh dalam tempoh 20 hingga 30 minit sahaja.

“Bagaimanapun, kita minta semua penduduk segera beredar selepas menjalani saringan bagi mengelak kebolehjangkitan Covid-19 sekiranya ada individu disahkan positif,” katanya ketika meninjau program itu di pekarangan Dewan Masyarakat Taman Meru 3 hari ini.

Terdahulu, seramai 430 penduduk dari Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai menjalani saringan bermula 9 pagi hingga 2 petang yang dikendalikan 35 petugas kesihatan Selcare serta Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

Mahdzir menambah operasi kali ini berbeza kerana menggunakan aplikasi milik Kerajaan Negeri yang mana penduduk dikehendaki membuka akaun SELangkah dan mendaftarkan diri sebelum saringan.

“Penggunaan SELangkah akan berterusan selepas ini supaya keputusan makmal boleh diperoleh secara dalam talian dengan lebih mudah oleh pemegang akaun,” katanya.

Orang ramai boleh mengakses https://screening.selangkah.my/login dengan memasukkan nama pengguna dan kata laluan yang didaftarkan.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Saringan Komuniti Bersasar dijalankan susulan kenaikan mendadak kes positif Covid-19 di Selangor melalui kluster Teratai.


Pengarang :