Reaksi sebahagian pekerja warga asing yang berada di luar rumah susulan pelaksanaan PKPD asrama pekerja Top Glove pada 21 November 2020 di Jalan Abadi 1A Meru Klang. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lanjut PKPD: Top Glove beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Top Glove Corp Bhd semalam berkata pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melandaikan lengkungan jangkitan susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas asrama syarikat itu di Meru, Klang.

Sebelum itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD yang dijadualkan berakhir semalam, akan dilanjutkan sehingga 14 Disember 2020.

Top Glove berkata semua pekerja kilang di Meru sedang menjalani saringan Covid-19 secara besar-besaran, manakala kerja sanitasi di kilang-kilang juga sedang dijalankan.

“Top Glove ingin memberi jaminan kepada semua pemegang kepentingan bahawa kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa mengharungi tempoh ini dan mematuhi semua langkah pencegahan Covid-19, dengan terus memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesejahteraan kakitangan serta masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

– BERNAMA


Pengarang :