EXCO Kerajaan Negeri Rodziah Ismail memberi penerangan ketika sesi Dialog Perbincangan Permasalahan Skim Perumahan Berpagar dan Berpengawal di Bandar Botanic Club House Klang pada 18 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

MPK digesa turun kadar peratus setuju jaya skim komuniti berpagar, berpengawal

KLANG, 18 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) disaran menurunkan kadar peratusan bersetuju dalam kalangan penduduk bagi pelaksanaan skim komuniti berpagar dan berpengawal.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata penurunan sekurang-kurangnya 75 peratus berbanding 100 peratus akan membantu persatuan komuniti memperoleh memorandum kejiranan mereka agar skim itu dapat dipohon.

“Kerajaan Negeri ambil pendekatan agar MPK melihat semula garis panduan daripada kadar peratusan sedia ada atau 80 peratus persetujuan penduduk untuk pelaksanaannya.

“Hal ini penting bagi memastikan keselamatan di sesebuah kawasan kejiranan,” kata Rodziah Ismail selepas sesi Dialog Perbincangan Permasalahan Skim Perumahan Berpagar dan Berpengawal di Bandar Botanic Club House di sini hari ini.

Pada masa sama, Yang Dipertua MPK Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajudin berkata pihaknya menyambut baik saranan itu dan akan dibincangkan.

“Cadangan ini akan dibawa ke dalam mesyuarat lembaga pengarah akan datang tetapi maklumat lebih terperinci kita tunggu daripada Kerajaan Negeri,” katanya.


Pengarang :