Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak serta Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu yang beroperasi secara haram di Batu 17, Rawang pada 10 Disember 2020. FOTO FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PTD Gombak, MPS roboh stor barang lusuh, kilang buat pintu

RAWANG, 10 DIS: Dua lagi premis yang beroperasi secara haram di atas tanah rizab milik Kerajaan Negeri di Batu 17, di sini dirobohkan hari ini bagi mengelak pencemaran sungai berulang.

Perobohan stor barang lusuh dan kilang pembuatan pintu dilakukan menerusi operasi bersepadu Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Kedua-dua premis didirikan dengan struktur sementara tanpa kelulusan atas tanah berkeluasan 1.976 hektar yang terletak kurang dua meter dari lembangan Sungai Selangor selain dipercayai beroperasi kira-kira 20 tahun.

Yang Dipertua MPS, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor (tengah) meninjau keadaan bangunan ketika operasi bersepadu pembangunan tanpa kebenaran di Batu 17, Rawang pada 10 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kelmarin, MPS merobohkan tiga struktur meliputi bengkel jentera berat, kilang kitar semula dan kandang ternakan lembu di Kuala Garing, di sini.

Pada 1 Disember, sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat yang beroperasi secara haram di atas tanah rizab sungai turut disita.

Pada 24 November, tindakan sama dikenakan ke atas dua bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang berada hanya satu meter dari Sungai Rawang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak lapan premis yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang akan diroboh melibatkan enam bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.

Pada 8 September lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas bagi memastikan rumah dan kilang haram terutama berhampiran tebing sungai dirobohkan kerana berpotensi mencemarkan sungai.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita terhadap kesan terpaksa ditanggung rakyat negeri ini ekoran insiden gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :