Petugas Kesihatan Selcare melakukan saringan Covid-19 anjuran DUN Kota Anggerik di Klinik Selcare, Shah Alam pada 22 Januari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KKM kemuka draf pindaan akta kawalan penyakit berjangkit

KOTA BHARU, 31 JAN: Draf pindaan terhadap Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau menjelaskan, ini berikutan Akta 342 diwartakan sejak 1988 dan perlu dipinda mengikut keperluan semasa, termasuklah jumlah kompaun maksimum RM1,000 di bawah akta berkenaan.

“Sekarang ini kita akan menggunakan Ordinan Darurat untuk kita buatkan pindaan,” katanya ringkas kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK) hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dinaikkan, susulan peningkatan ketara kes COVID-19 di negara ini.

Abdul Hamid turut berkata setiap minggu, ribuan saman dikeluarkan kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada perubatan Islam atau tradisional boleh digunakan sebagai kaedah alternatif untuk merawat Covid-19, Dr Noor Hisham berkata ia perlu ada bukti serta kajian yang kukuh.

“Kalau kita nak gunakan perubatan Islam ataupun apa-apa perubatan tradisional, kita mesti berdasarkan dalil-dalil yang kukuh dan bukti-bukti, yang kita boleh guna pakai dan kajian-kajian.

“Seperti penggunaan vaksin juga memerlukan kajian fasa klinikal yang ketiga, baru kita boleh lihat kesan sampingan dan keberkesanan vaksin tersebut. Sama juga dengan perubatan tradisonal, jadi kita kena laksanakan kajian terlebih dahulu, sama ada terbukti ataupun tidak,” jelasnya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan EXCO Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kelantan Hilmi Abdullah, yang juga Perawat Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia (DarusSalam) yang mencadangkan, kerajaan mempertimbangkan perubatan secara Islam digunakan sebagai salah satu alternatif merawat pesakit COVID-19, pada 26 Jan lepas.

Hilmi dilaporkan berkata cadangan tersebut dilontarkan untuk bersama-sama membantu Kementerian Kesihatan (KKM), menangani serta merawat pesakit Covid-19 di negara ini yang semakin bertambah.

-BERNAMA


Pengarang :