Dr Siti Mariah Mahmud menjelaskan mengenai Skim Insurans Peduli Sihat pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Penerima Skim Insurans Peduli Sihat wajib jalani saringan

SHAH ALAM, 13 JAN: Penerima Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) wajib jalani saringan kesihatan bagi membolehkan mereka layak mendapat manfaat tahun hadapan.

EXCO kesihatan berkata saringan boleh dibuat sepanjang tahun ini di klinik panel Selcare Management Sdn Bhd (Selcare).

Dr Siti Mariah berkata bagi memudahkan orang ramai, Selcare juga bakal mewujudkan klinik bergerak dengan kerjasama Ahli Dewan Negeri.

“Mereka yang gagal jalani saringan tidak layak menyambung polisi ini pada tahun depan. Hanya boleh menerima rawatan pada tahun ini sahaja.

“Dengan membuat saringan, data kesihatan dikumpul sekali gus memudahkan Kerajaan Selangor mengenal pasti penyakit golongan berpendapatan rendah (B40),” kata Dr Siti Mariah pada sidang media semalam.

Menurutnya, pemegang polisi juga disaran menggunakan manfaat SIPS termasuk mengambil suntikan vaksin dan tidak hanya untuk rawatan pesakit luar.

“Vaksin Covid-19 juga boleh diambil menggunakan SIPS ini selepas diluluskan. Selain itu, pemegang polisi boleh mendapat rawatan untuk 36 sakit kritikal dan tidak berjangkit.

“Mereka yang menghidap sakit jantung secara automatik dapat manfaat Skim Peduli Sihat Jantung dibawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor,” katanya.

SIPS merupakan bantuan kesihatan kepada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 dengan memperuntukkan bantuan pengebumian sebanyak RM1,000, perlindungan kemalangan diri (RM5,000), perlindungan penyakit kritikal (RM5,000) dan insurans nyawa (RM5,000).

 

 


Pengarang :