Ir Izham Hashim (tengah) meninjau projek rawatan air dan pembesaran kolam prarawatan air serta kolam takungan banjir Sungai Gong pada 25 Januari 2021. Foto Facebook Ir Izham Hashim
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Projek fasa satu atasi pencemaran air siap sebelum hujung tahun

SHAH ALAM, 26 JAN: Projek rawatan air Sungai Gong di Rawang bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air mentah akibat pencemaran dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata projek yang mencapai tahap lima peratus turut meliputi pembesaran kolam prarawatan air dan kolam takungan banjir.

Ir Izham Hashim menjelaskan kerja yang menelan kos RM200 juta, sebahagian daripada Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) fasa pertama yang diumumkan dalam Belanjawan Negeri 2021.

“Apabila selesai semua projek SJAM fasa pertama awal tahun depan, maka masalah gangguan bekalan air penduduk Selangor disebabkan pencemaran dapat diatasi,” tulisnya di Facebook.

Beliau berkata projek pengalihan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih pula dalam proses tender dengan pembinaannya bermula Mac ini.

Sementara itu, Ir Izham memaklumkan pembinaan stesen statik pemantauan kualiti air Lembaga Urus Air Selangor di Sungai Sembah siap 90 peratus.

“Stesen ini berperanan memantau pencemaran sungai sebelum air tercemar itu tiba di Loji Rawatan Air Sungai Selangor,” katanya lagi.

 


Pengarang :