Sumber Grafik: Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan zahir takziah, sedih pemergian Tun Salleh Abas

SHAH ALAM, 16 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor serta Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan kesedihan dan dukacita terhadap pemergian bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas awal pagi tadi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta Tengku Permaisuri Norashikin berharap keluarga Allahyarham Mohamed Salleh tabah dengan ketentuan selain mendoakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin.

“Sultan Sharafuddin menganggap Mohamad Salleh sebagai individu berwibawa, berprinsip dan sentiasa mengutamakan Perlembagaan Negara dalam setiap tindakannya.

“Baginda juga melihat Allahyarham sebagai hakim yang hebat dalam memperjuangkan badan kehakiman, melindungi hak istimewa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang,” tulis Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Tokoh perundangan negara berusia 91 tahun itu meninggal dunia jam 3.20 pagi tadi selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, kelmarin.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim di Jalan Pusara, Kuala Terengganu jam 10.40 pagi tadi.

Allahyarham menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Negeri Jertih pada 1999.

 


Pengarang :