Penghantar barangan Seldec menunjukkan isyarat bagus ketika menunggu giliran mendapatkan inisiatif RiDE oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tiga ribu peserta RiDE layak terima manfaat Perkeso

SHAH ALAM, 23 JAN: Seramai 3,000 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) menerima perlindungan keselamatan dan beberapa manfaat lain sejak program itu dilancarkan.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor berkata peserta turut diberikan tambahan setahun perlindungan melalui program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

“Manfaat lain meliputi faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, orang tanggungan dan pengurusan mayat,” kata Pengarahnya Mustafa Draman ketika dihubungi.

“Turut diberikan faedah pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional serta elaun layanan sentiasa.”

Menurutnya, caruman pekerja dalam ekonomi sampingan itu dibiayai 70 peratus oleh Kerajaan Persekutuan manakala 30 peratus lagi oleh Kerajaan Selangor.

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Perkeso sebanyak RM70 setahun.

Antara syarikat terlibat ialah Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec), BungkusIt, Zepto Express, Warong Rider dan Foodpanda.

Mereka yang ingin memohon mestilah berumur antara 17 hingga 30 tahun, pendapatan kurang RM2,000 bagi yang bekerja dan memperoleh lesen bermula Januari tahun lalu.


Pengarang :