Majlis ringkas penyerahan sumbangan set kelengkapan sekolah kepada anak yatim seliaan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) pada 12 Januari 2021. Foto ihsan Yide
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Yide agih alatan sekolah kepada 588 anak yatim

SHAH ALAM, 14 JAN: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menghulur bantuan set kelengkapan sekolah kepada 588 anak yatim untuk memulakan sesi pembelajaran tahun ini.

Pengurus besarnya, Nur Mohd Razali Abdullah berkata sumbangan itu turut mendapat tajaan kilang gula Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd.

“Ini merupakan program tahunan Yide agihkan barangan persekolahan kepada 17 rumah anak yatim kita.

“Kita berharap sumbangan ini dapat menyuntik semangat anak yatim untuk lebih bersungguh dan berjaya pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya alat kelengkapan sekolah diberi merangkumi set pakaian dan seluar, kasut, stoking, tudung, beg dan alat tulis.

“Terima kasih kepada CSR Sdn Bhd dan semua penyumbang. InsyaAllah selepas ini, kita juga akan mengadakan program tajaan komputer riba kepada anak yatim yang akan menyambung pengajian ke peringkat institusi,” tambahnya.

Majlis agihan sumbangan diadakan secara ringkas pada 12 Januari lalu di Rumah Pertubuhan Kebajikan Ehsan As Shakur dan Rumah Kebajikan Anak Yatim Damai Kuang.

Yide diwakili oleh Ahli Pemegang Amanah Mohd Salim Sain dan Nur Mohd Razali.

Untuk maklumat lanjut mengenai peranan Yide boleh berhubung terus ke Ibu Pejabat di talian +603 – 5510 3931, email ke [email protected] atau layari : www.yide.com.my.

 

Anak-anak yatim bergambar bersama wakil Yayasan Islam Darul Ehsan dan CSR Sdn Bhd. Foto Yide

Pengarang :