Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop menyerahkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh pada 10 Februari 2021. Foto LZS
AGENDANASIONAL

LZS sedia makanan kepada 1,250 petugas hospital Sungai Buloh, Selayang

SHAH ALAM, 12 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan pek makanan kepada 1,250 petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang sejak 10 Februari lalu.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata sumbangan yang diagih setiap Isnin, Rabu dan Jumaat bertujuan menghargai pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus mengawal penularan Covid-19.

“Sumbangan ini khusus buat petugas bekerja pada waktu malam memandangkan kantin dan premis makanan beroperasi dalam waktu yang singkat ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Menariknya, sebanyak enam menu berbeza setiap minggu disediakan 100 peratus oleh usahawan trak makanan LZS. Inisiatif ini juga untuk membantu peniaga tersebut tambah pendapatan,” kata Saipolyazan M Yusop dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan sumbangan itu menggunakan peruntukan amil dan tidak menjejaskan bantuan asnaf fakir dan miskin.

Usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais menyediakan masakan panas kepada petugas Hospital Selayang. Foto LZS

Sementara itu, usahawan trak makanan LZS, Mohd Najib Mohd Rais melahirkan syukur kerana diberi peluang untuk menyediakan makanan kepada petugas hospital terbabit.

“Hampir 30 peratus pendapatan saya terjejas tetapi rezeki masih ada untuk kami sekeluarga. Mengenai penyediaan makanan ini, saya akan masak di sini (hospital) bagi memastikan kakitangan dapat menikmati juadah ketika masih panas.

“Sekitar pukul tujuh petang makanan akan siap dan mula diedarkan,” katanya yang memasak untuk petugas Hospital Selayang.


Pengarang :