Ng Sze Han menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar di Pusat Khidmat DUN Kinrara, Puchong pada 28 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Peti Kinrara dapat sambutan, jumlah penyumbang bertambah

PETALING, 28 FEB: Program Peti Kinrara bagi mengumpul barangan keperluan harian daripada orang ramai mendapat sambutan menggalakkan sejak dilancarkan Disember tahun lalu.

Ahli Dewan Negeri Kinrara berkata perkembangan itu dianggap positif apabila bukan sahaja jumlah penerima lebih ramai sebaliknya golongan yang membantu turut meningkat.

“Saya tidak sangka, almari diletakkan di hadapan pusat khidmat dipenuhi barangan hasil sumbangan dari orang ramai. Mereka beri makanan dan juga barangan keperluan harian seperti lampin pakai buang dan pad wanita.

“Ini adalah sesuatu yang baik kerana lebih ramai keluarga memerlukan dapat dibantu. Terima kasih kepada semua,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 20 komputer riba percuma kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kinrara di sini hari ini.

Pada masa sama, EXCO Kerajaan Negeri itu berkata pihaknya bersedia membantu mana-mana persatuan bukan kerajaan atau pusat khidmat lain untuk menganjurkan program seumpama itu kerana golongan memerlukan mendapat pembelaan lebih cepat.

“Sekiranya tiada duit, mereka boleh ambil saja barangan diperlukan dari almari ‘Peti Kinrara’ tanpa sebarang bayaran, maka kita menggalakkan lebih banyak penganjur mengadakan program sebegini,” katanya.


Pengarang :