Petugas kesihatan Selcare membantu proses pendaftaran orang ramai yang mengikuti program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Stadium Mini Sungai Besar, Sabak Bernam pada 25 Februari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Saringan bersasar pekerja industri diteruskan, kawal penularan di kilang

SABAK BERNAM, 26 FEB: Saringan bersasar melibatkan pekerja industri negeri ini bakal diteruskan bagi membendung penularan Covid-19 di tempat kerja.

Bermula di Sabak Bernam, pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor berkata kaedah sama akan dilaksana di Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Menurut Dr Mohammad Farhan Rusli, inisiatif secara percuma itu akan kekal menggabungkan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

“Matlamat kami apabila pekerja industri jalani ujian, ahli keluarga juga ikut serta untuk mendapat gambaran sebenar siapa positif atau tidak,” katanya ketika ditemui pada program saringan semalam.

Beliau menjelaskan program tersebut dibuat secara berfasa meliputi syarikat industri besar yang memiliki ramai pekerja selain perusahaan kecil dan sederhana.

Pada 6 Januari, Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor melancarkan POIS bagi mencegah dan mengurangkan kluster tempat kerja.

Majikan mendaftar perlu menubuhkan jawatankuasa terdiri daripada beberapa kumpulan kecil dengan fungsi berbeza yang berperanan mengenal pasti kawasan dan aktiviti berisiko tinggi.

Jawatankuasa terbabit perlu merangka pelan tindakan kecemasan, mengurangkan kontak luar dan memastikan semua tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) pula merekodkan pergerakan keluar masuk pekerja dan memantau komponen POIS serta menganalisis risiko pekerja bagi menyelaraskan kekerapan saringan.

 

 


Pengarang :