Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau lokasi Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Kampung Lindungan PJS 6, Petaling Jaya pada 21 Februari 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor teliti buka semula sekolah seliaan Jais, bincang SOP sesuai

PETALING JAYA, 21 FEB: Kerajaan Negeri akan meneliti kesesuaian untuk membuka semula sekolah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mulai Mac.

Dato’ Menteri Besar berkata perbincangan bersama bahagian pendidikan agensi itu turut meliputi pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) terbaik.

“Saya percaya isu pembukaan semula sekolah susulan pengajian dalam talian yang kurang berkesan, pemantauan gagal dan masalah peranti,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui di sini.

“Data menunjukkan jangkitan banyak berlaku di asrama berbanding sekolah harian jadi perlu tengok keadaan semasa. Kerajaan Negeri akan pantau jika ada keperluan tutup sekolah, kita akan tutup.”

Sesi persekolahan akan dibuka berperingkat mulai 1 Mac dengan kumpulan pertama membabitkan murid prasekolah, tahun satu dan dua sementara murid tahun tiga hingga enam pada 8 Mac.

Sementara itu, Amirudin mengucapkan selamat maju jaya kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang akan menduduki peperiksaan mulai esok dan meminta mereka melakukan yang terbaik.

“Bukan mudah kerana pandemik menghalang pelajar ke sekolah dan mengikuti kelas tambahan. Kita harap Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) membantu pembelajaran mereka,” katanya.

 


Pengarang :