Lori Malaysia yang melepasi pemeriksaan di Imigresen Woodlands menghala ke Johor Bharu dari Singapura pada 16 April 2002. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Singapura siasat pemandu lori Malaysia positif Covid-19

SINGAPURA, 22 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) menyatakan mereka kini sedang menyiasat seorang pemandu lori rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan memasuki negara itu pada 18 Feb, selepas diuji positif Covid-19 menggunakan ujian rapid antigen (ART) di pusat pemeriksaan Woodlands.

Kementerian itu menyatakan ujian polymerase chain reaction (PCR) terhadap penghantar kerja bebas itu juga yang diterima pada keesokan harinya juga didapati positif Covid-19.

MOH menyatakan, perjalanan ke Singapura lelaki itu sebelum itu ialah pada 8 Feb, apabila beliau diuji negatif pada ujian ART di pusat pemeriksaan.

“Siasatan kami mendapati yang beliau telah ke Kasino Resorts World Sentosa pada 9 Feb, sebelum pulang ke Malaysia pada hari yang sama,” menurut kenyataan dikeluarkan MOH hari ini.

Walaupun lelaki itu tidak termasuk dalam perkiraan kes kerana beliau tidak dibenarkan untuk memasuki Singapura selepas keputusan ujian yang positif, kementerian itu menyatakan yang mereka akan mengambil tindakan sewajarnya sebagai langkah berjaga-jaga, termasuk mengkuarantin kesemua kontak rapat lelaki tersebut.

Kementerian itu menjelaskan yang pemandu lori Malaysia tidak dibenarkan untuk bergaul dalam komuniti, selain untuk tujuan penghantaran dan tidak dibenarkan untuk bermalam.

MOH menyatakan, siasatan juga sedang dijalankan bagi melihat sama ada berlakunya sebarang pelanggaran langkah pencegahan yang berkaitan.

Sehingga tengah semalam, Singapura melaporkan 11 kes jangkitan Covid-19 baharu, kesemuanya kes import, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 59,869 kes.

– BERNAMA


Pengarang :