BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Sultan titah rakyat hayati khutbah isu bahaya fitnah

SHAH ALAM, 12 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru umat Islam menghayati khutbah Jumaat yang dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)  berhubung bahaya fitnah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah perbuatan itu dilarang kerana ia boleh menimbulkan tanggapan salah, membawa kebencian, persengketaan sesama sendiri dan mencetuskan permusuhan.

“Fitnah adalah tuduhan atau tohmahan yang sengaja diada-adakan sama ada ia berbentuk tulisan, gambar, video dan sebagainya.

“Fitnah adalah perbuatan keji yang boleh memburukkan atau memalukan seseorang, kumpulan atau institusi, sedangkan ia tidak benar sama sekali,” titah baginda melalui  Facebook Selangor Royal Office.

Sebelum ini, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penyebaran berita palsu dalam kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.

Antara intipati khutbah Jais:

– Umat Islam dilarang menyebarkan fitnah kerana boleh menimbulkan perpecahan dan perbalahan.

– Umat Islam sentiasa menyelidik setiap berita diterima untuk mengelakkan tersebarnya gejala fitnah yang sangat bahaya.

– Peringatan bahawa pembawa fitnah adalah orang yang muflis di hadapan Allah kerana tuntutan orang difitnah.


Pengarang :