Pengalihan struktur besi kren yang jatuh dan menghempap sebuah kenderaan di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Alam Damai pada 22 Mac 2021. Dalam kejadian itu, tiga maut dan seorang lagi cedera parah apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiga pekerja asing maut insiden struktur besi kren jatuh

SHAH ALAM, 22 MAC: Tiga pekerja asing maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera parah dalam insiden struktur kren terjatuh dekat tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke) di Persiaran Alam Damai, Cheras hari ini.

Pemaju projeknya, Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (Prolintas) memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Melalui siasatan awal, tiga pekerja pembinaan warga China meninggal dunia manakala seorang pengguna jalan raya warga tempatan cedera dalam kejadian ini.

“Kejadian difahamkan berlaku apabila salah satu komponen kren gantri terjatuh dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pasukan ‘Emergency Response Team’ Suke bersama anggota bomba menutup laluan trafik di kedua-dua hala dan kerja menyelamat mangsa sedang dijalankan.

Terdahulu, dua pekerja binaan dilaporkan terbunuh sementara dua lagi dipercayai cedera parah selepas struktur kren menghempap sebuah kereta di tapak pembinaan itu.

Pemandu kereta yang juga seorang rakyat tempat cedera parah manakala dua pekerja binaan jatuh pada ketinggian 36 meter (120 kaki) dari tapak pembinaan dan maut di tempat kejadian.


Pengarang :