Pekerja memeriksa kualiti sarung tangan yang dihasilkan sebelum dipasarkan ke luar dan dalam negara ketika tinjauan di Kilang Top Glove Meru, Klang pada 26 Ogos 2020. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

Untung bersih suku kedua Top Glove melonjak kepada RM2.87 bilion

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Keuntungan bersih Top Glove Corporation Bhd meningkat lebih daripada 24 kali ganda kepada RM2.87 bilion pada suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari, 2021 daripada RM115.68 juta pada suku kedua 2020 ketika permintaan sarung tangan global terus melonjak.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu berkata ia juga memperoleh hasil jualan suku tahunan tertinggi sebanyak RM5.37 bilion pada suku kedua 2021, meningkat 336 peratus daripada RM1.23 bilion pada suku kedua 2020.

Untuk tempoh kumulatif enam bulan yang berakhir pada 28 Februari 2021, keuntungan bersihnya berjumlah RM5.23 bilion, kira-kira 22 kali ganda daripada RM227.11 bilion tahun lalu, manakala pendapatannya dalam tempoh tersebut meningkat kepada RM10.12 bilion dari RM2.44 bilion sebelumnya.

Sementara itu, Top Glove juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 25.2 sen sesaham yang perlu dibayar pada 6 April, 2021.

Mengenai prestasi syarikat, Top Glove berkata angka jualannya yang kukuh dan stabil disebabkan oleh permintaan berterusan untuk sarung tangan di peringkat global.

Walaupun keuntungannya yang lebih baik kerana output jualan yang lebih tinggi, paras penggunaan yang tinggi yang meningkatkan kecekapan pengeluaran, ditambah dengan purata harga jualan (ASP) lebih tinggi seiring dengan harga pasaran.

“Keuntungan tinggi dan luar biasa kumpulan ini juga berikutan peningkatan berterusan di seluruh operasinya melalui transformasi digital, penyelidikan dan pembangunan (R&D) berterusan dan inovasi, inisiatif kualiti dan produktiviti serta pengambilan dan pembangunan bakat (pekerja berkemahiran),” katanya.

Mengulas mengenai keputusan syarikat itu, Pengarah Urusannya Datuk Lee Kim Meow berkata prestasi kumpulan itu yang tidak pernah terjadi sebelum ini adalah hasil daripada keberkesanan inisiatif penambahbaikan yang didorong oleh teknologi syarikat yang berterusan dengan menumpukan kepada kualiti dan kecekapan kos.

“Inisiatif ini juga membolehkan kami untuk memenuhi peningkatan permintaan sarung tangan dengan cekap dan efektif,” katanya dalam satu kenyataan yang berasingan.

Mengenai pembayaran dividen 25.2 sen, Top Glove berkata ia merangkumi pembayaran dividen khas 20 peratus ditambah 50 peratus mengikut dasar dividen syarikat, berjumlah sebanyak 70 peratus pembayaran dividen.

“Jumlah dividen yang diisytiharkan untuk separuh pertama bagi tahun kewangan 2021 sebanyak 41.7 sen sesaham, mewakili kenaikan 253 peratus daripada dividen tahun penuh untuk tahun kewangan 2020 sebanyak 11.8 sen sesaham,” katanya.

Pada 28 Februari, 2021, kumpulan itu berada dalam kedudukan tunai bersih sebagai RM4.06 bilion.

Menyentuh program pemvaksinan, Top Glove berkata walaupun dengan vaksin, kumpulan itu yakin bahawa permintaan sarung tangan global akan kekal kukuh.

“Walaupun permintaan mungkin akan stabil pasca pandemik, kumpulan itu berharap ia tidak akan kembali ke paras sebelum penularan Covid-19, susulan daripada peningkatan tahap kesedaran mengenai kebersihan serta ketidaktentuan terhadap jalan penyelesaian terhadap pandemik Covid-19.

“Lebih-lebih lagi, selepas mendepani cabaran akibat pandemik ini, kerajaan dijangka akan menyimpan stok sarung tangan dan pakaian pelindung diri (PPE) lain sebagai persediaan sekiranya berlaku pandemik pada masa depan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Top Glove mengekalkan pandangan optimis terhadap prospeknya kerana permintaan sarung tangan global dijangka meningkat kepada sekitar 15 peratus setahun pasca pandemik daripada tahap pra-pandemik sekitar 10 peratus setahun berikutan peningkatan penggunaan dan tahap kesedaran mengenai kebersihan yang semakin meningkat.

Untuk memastikan ia berada dalam kedudukan yang baik bagi memenuhi permintaan sarung tangan yang kukuh, pihaknya akan terus melakukan pengembangan organik, pengembangan inorganik dan pelaburan strategik.

Ia berkata Top Glove telah memperuntukkan RM10 bilion untuk perbelanjaan modal selama lima tahun daripada tahun kewangan 2021 hingga tahun kewangan 2025, ia akan meningkatkan kapasiti pengeluarannya sekarang sekitar 100 bilion sarung tangan kepada jumlah kapasiti pengeluaran lebih daripada 200 bilion sarung tangan.

– BERNAMA

 


Pengarang :