Siti Nordiana mengadakan persembahan sewaktu rakaman Senandung Aidilfitri yang akan disiarkan melalui platform Media Selangor. Foto Megaday Media Sdn Bhd
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Artis terkenal jaya program Aidilfitri peringkat negeri

KUALA SELANGOR, 26 APRIL: Artis-artis terkenal menjayakan program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor bagi memeriahkan sambutan perayaan peringkat negeri pada tahun ini.

Mereka antaranya Siti Nordiana, Najwa Latif, Bunkface, Roy, Azmi Caliph busker, Aishah, Ropee dan Ahmad Yassin yang memiliki suara mirip Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Selebriti Salleh Yaacob dan Raja Azura turut bergandingan sebagai pengacara bersama dalam program bertema Raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Program selama sejam itu menghidangkan persembahan nyanyian, sketsa dan wawancara. Rancangan seni ini akan disiarkan pada 9 malam, hari kedua Syawal melalui SelangorTV (www.selangortv.my).

Laungan takbir raya yang menjadi sebahagian program tersebut pula dipimpin imam Masjid Negeri Abdul Karim Omar bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, barisan EXCO dan pegawai kanan kerajaan.

Rakaman antara 3 hingga 10 April dijalankan di beberapa lokasi di Sepang, Gombak dan Kuala Selangor. Selain SelangorTV, program itu akan disiar melalui Facebook Media Selangor.

Penerbit eksekutif Megaday Media Sdn Bhd Azhar Sulaiman bertanggungjawab menjayakan keseluruhan rakaman.


Pengarang :