Rodziah Ismail (kiri) mengiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan makanan secara pandu lalu kepada pemandu teksi dan bas sekolah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bantu raih pendapatan, pemandu teksi digalak sertai Seldec

SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan Negeri menggalakkan pemandu teksi menyertai Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) bagi menambah pendapatan.

EXCO pembangunan usahawan berkata khidmat penghantar barangan ditawarkan kepada 6,318 pemandu berdaftar negeri ini yang bakal menerima latihan daripada Hijrah Selangor.

“Kerajaan Negeri telah memberi komitmen untuk program e-Bazar dan e-Dapur, jadi kita boleh serap mereka menjadi sebahagian daripada kumpulan e-panggilan bermula Ramadan ini.

“Ia tiada kos tertentu sebaliknya Hijrah akan sediakan gajet dan latih mereka menggunakan alatan tersebut sebelum dibenarkan mengambil pesanan,” kata Rodziah Ismail pada majlis pelancaran agihan bakul makanan di sini hari ini.

Rodziah yang juga wakil rakyat Batu Tiga menggalakkan ahli keluarga pemandu teksi menyertai khidmat e-panggilan bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

“Kebanyakan golongan itu berusia 50 tahun ke atas dan sukar melaksanakan dua kerja, jadi kita berusaha dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai keluarga mereka untuk dibantu.

“Ini yang perlu dibuat, bukan sekadar beri bantuan sekali bayar. Kita akan manfaatkan data sedia ada untuk menambah baik kehidupan ahli keluarga pemandu teksi,” katanya lagi.

Seldec dilancarkan pada 3 Oktober 2019 bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan melalui jualan secara dalam talian.

Diterajui Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, Seldec menghubungkan pembeli dan penjual secara langsung melalui pautan www.seldec.com.my/en.


Pengarang :