BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Gigih berniaga, hajat asnaf tunai zakat termakbul

DAHULU, Ramlah Abdul Karim, 40, dan suami Suhaimi Ali, 44, hidup susah. Ketika itu, mereka lima beranak makan nasi berlauk kangkung yang dikutip di belakang rumah.

Pernah, bukan sekali dua, berhari-hari tidak menjamah nasi. Dengan sedikit duit, dibelinya tepung buat cekodok. Itupun cekodok kosong. Hanya sesekali cekodok bawang.

Berazam keluar daripada kemiskinan, mereka cuba berniaga kecil-kecilan. Selepas jatuh bangun beberapa kali, kesungguhan mereka mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang kemudian menghulur bantuan.

Kehidupan mereka lebih baik mulai 2017. Dua tahun kemudian, mereka berasa telah sampai masanya untuk memberi pula. Mereka ke pejabat LZS untuk membayar zakat.

Namun, hajat suami isteri belum kesampaian. Pengiraan mendapati pendapatan mereka belum layak membayar zakat.

Walau sedikit terkilan, mereka mengganda usaha. Setahun kemudian, mereka kembali lagi. Kali ini, LZS menerima bayaran zakat pendapatan mereka. Hasrat mereka tertunai akhirnya.

Mula niaga

Sejak 2010 hingga 2013, suami isteri itu tidak pernah beli pakaian baharu tiap kali menjelang Aidilfitri. Anak-anak didahulukan, dari lima, bertambah lagi dua anak. Itupun ala kadar tetapi cukuplah buat mereka mengukir senyuman di pagi Syawal.

Mujurlah pada 2014 dapat bantuan LZS. Selain meringankan beban ketika kedatangan Aidilfitri, mereka juga bergantung kepada bantuan zakat setiap kali tiba musim persekolahan.

Pagi raya pula, dengan duit cukup-cukup untuk minyak dan tol, mereka tujuh beranak berhimpit ketika berkereta pulang ke kampung, sama ada Pekan, atau Johor Bahru. Berbahang tanpa pendingin hawa.

Proton Saga lama dibeli pada harga RM3,000. Untuk berniaga dan menghantar anak ke sekolah. Suhaimi tidak sampai hati melihat Ramlah berulang-alik menunggang motosikal empat lima kali dari rumah ke gerai mengangkut kuih-muih dan tong gas.

Itupun dengan meminjam wang majikannya. Ketika itu, Suhaimi bekerja sebagai pemandu lori kedai perkakasan logam dengan gaji RM35 sehari.

Mereka hanya berniaga kecil-kecilan. Pada 2014, mereka membuka gerai pisang goreng dan kuih-muih di Meru, Klang. Namun, perniagaan itu cuma bertahan dua tahun. Tapak niaga terpaksa dikosongkan untuk kerja pembinaan jalan.

Pada 2016, mereka cuba berniaga bebola daging, ayam panggang dan makanan Barat di pasar malam sekitar Meru. Sekali lagi, tidak sampai setahun, perniagaan gulung tikar.

Namun, kegigihan mereka menggamit perhatian LZS. Melalui program Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), mereka menerima bantuan sebuah lori kecil, stok bahan mentah dan modal pusingan bernilai RM54,600 untuk memulakan perniagaan nasi campur pada 2017.

Bimbingan

Pasangan itu juga diberi pelbagai kursus antaranya pengurusan kewangan, pengendalian makanan dan motivasi.

Lokasi strategik di Setia City Mall, Shah Alam melonjak perniagaan mereka. Gerai mereka popular dalam kalangan pekerja pejabat berhampiran berikutan keenakan lauk pauk. Pilihan juga banyak. Lebih 20 jenis disediakan setiap hari.

“Bukan sekadar bantuan perniagaan sahaja, LZS juga banyak memberi semangat kepada saya dan suami.

“Pegawai zakat kerap datang ke gerai bertanya khabar dan keadaan perniagaan kami. Bantuan dan bimbingan diberi sangat besar maknanya,” kata Ramlah.

Kehidupan mereka sekeluarga kini jauh berubah. Ramlah turut menasihati supaya golongan asnaf fakir dan miskin supaya tidak berputus asa serta sentiasa berusaha mengubah nasib masing-masing.

“Sebenarnya pokok pangkal dalam diri masing-masing. Kalau ada kemahuan yang kuat pasti boleh berubah,” katanya.

“Bantuan zakat hanya sementara sahaja, bukan selama-lamanya. Diri sendiri perlu berusaha untuk mengubah nasib, jangan berserah begitu sahaja,” katanya.


Pengarang :