Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau sesi pendaftaran program Outreach Imunisasi Covid-19 peringkat Selangor di Dataran Puchong Permai, Puchong pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

ImuniSel bantu warga emas, Orang Asli daftar suntikan vaksin

PUCHONG, 4 APRIL: Kerajaan Negeri melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) untuk memastikan semua golongan mendaftar suntikan vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata program menyasarkan warga emas dan Orang Asli yang tidak mahir menggunakan aplikasi di telefon atau mempunyai capaian internet terhad.

“Menurut data Jabatan Perangkaan pada 2019, sekitar 37 peratus isi rumah di Selangor tidak mempunyai capaian kepada telefon pintar dan disebabkan itulah program ini diwujudkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah (dua kiri) dan Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) memegang replika kad pendaftaran Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) di Dataran Puchong Permai, Puchong pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Golongan ini kebiasannya menggunakan gajet hanya untuk membuat dan menerima panggilan serta WhatsApp sahaja,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada pelancaran program terbabit di sini.

Jelasnya, inisiatif tersebut dibentang dan dibincang bersama Menteri Penyelaras Khairy Jamaluddin, antara sebahagian usaha Kerajaan Negeri membantu pendaftaran vaksin Covid-19.

Beliau menambah pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, ahli majlis serta ketua kampung akan bergerak aktif membantu proses pendaftaran.

“Mereka yang mendaftar akan menerima kad ImuniSel tertera kod QR, kemudian imbas sahaja kod tersebut untuk menyemak tarikh suntikan vaksin,” kata Amirudin lagi.

Setakat semalam, hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia mendaftar program suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Pada 23 Februari, Amirudin berkata sebanyak dua hingga lima juta dos vaksin Covid-19 yang mahu dibeli Kerajaan Negeri dijangka diterima pada Mei atau Jun.

Beliau menjelaskan pembelian itu penting bagi membantu mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.


Pengarang :