Norita Mohd Sidek (kiri) mengagihkan juadah berbuka puasa kepada kakitangan Kumpulan Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam pada 27 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI belanja RM3 juta bantu masjid, B40 sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Norita Mohd Sidek berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 juta diagihkan untuk program Jelajah Ramadan Kita Selangor oleh Dato’ Menteri Besar.

Sementara baki, jelasnya, dibelanjakan untuk program Ihya Ramadan yang memfokuskan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan anak yatim.

“Kita akan jelajah ke seluruh daerah dan menyerahkan sumbangan kepada masjid, surau, institusi pendidikan, persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada program edaran 500 pek juadah berbuka puasa kepada Kumpulan Media Karangkraf di Seksyen 15 di sini semalam.

Agihan itu sebahagian inisiatif Ihya Ramadan membabitkan peruntukan sebanyak RM280,000 di beberapa lokasi terpilih sehingga tamat puasa.

Antara agensi terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Jabatan Agama Islam Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Lembaga Zakat Selangor, Universiti Selangor dan Universiti Pengurusan dan Sains.

Turut menerima agihan ialah Politeknik Shah Alam, Balai Bomba Shah Alam, Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Karangkraf Seksyen 15, Proton dan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

PPR Lembah Subang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, DUN Kota Anggerik, Pejabat Parlimen Shah Alam dan PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26 juga menerima pek makanan berbuka puasa.


Pengarang :