Mohd Rashidi Ruslan (dua, kiri) menyerahkan cek cura berjumlah RM150,000 kepada Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor Prof Madya Dr Badrul Isa (dua kanan) di Wisma MBSA, Shah Alam pada 27 April 2021. Foto ihsan MBSA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA agih dana, bekal makanan sihat buat pelajar susah

SHAH ALAM, 27 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntuk sejumlah RM210,000 bagi meningkatkan taraf pemakanan dan kesihatan pelajar memerlukan.

Pemangku Datuk Bandarnya berkata sebanyak RM150,000 disalur kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk manfaat 500 penuntut kampus Shah Alam, Sungai Buloh dan Puncak Perdana selama satu semester.

Mohd Rashidi Ruslan menjelaskan baki dana diberikan kepada 50 sekolah rendah dan menengah bagi agihan makanan melalui tempahan di kantin selama enam bulan.

“Kita menyasar program ini dapat membantu pelajar terutama luar bandar dan berpendapatan rendah kerana mereka antara yang terkesan ketika pandemik Covid-19 serta memerlukan bantuan makanan berkhasiat setiap hari,” katanya.

Beliau yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan di Wisma MBSA di sini menambah program tersebut sejajar matlamat pembangunan mampan pihak berkuasa tempatan itu.

Mohd Rashidi berkata pendekatan ‘tiada siapa tertinggal di belakang’ meliputi isu pembangunan sosial, ekonomi termasuk kemiskinan, kelaparan, kesihatan dan keadilan sosial.

“Justeru, kita berharap program ini mendapat kerjasama pelbagai pihak sekali gus merealisasikan matlamat menjadikan Shah Alam bandar raya pintar, berdaya huni dan berdaya saing menjelang 2035,” katanya lagi.

Majlis tersebut dihadiri Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor Prof Madya Dr Badrul Isa dan Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Selangor Mohd Affendy Japar.


Pengarang :