Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Mufti: Puasa batal jika berbuka tiga minit awal

SHAH ALAM, 21 APRIL: Seseorang yang berbuka seawal tiga minit sebelum masuk waktu Maghrib, maka puasanya terbatal, jelas mufti Selangor.

Namun Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata jika individu berkenaan berbuka selepas tempoh azan tersebut, puasanya masih sah.

Beliau mengulas kesilapan Masjid Al-Khairiyah Sri Gombak melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu pada Isnin lalu.

“Andai kata ada orang berbuka sebaik terdengar laungan Allahuakhbar maka terbatal tetapi jika telah selesai azan baru berbuka dikira sah kerana ia biasanya tiga minit paling minimum.

“Situasi sama jika kita terus solat, jadi tidak sah sebab belum masuk waktu. Kalau azan secara berlagu ia berlarutan empat minit maka tak batal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanapun Mohd Tamyes menjelaskan pihaknya tidak menerima aduan mengenai kejadian luar jangka itu.

Nasihatnya, jika kesilapan diakui pihak masjid, maka wajib untuk mereka yang terus berbuka pada waktu itu menggantikan puasa.

“Jadikan satu pengajaran supaya akan datang kita bukan sekadar mendengar azan tetapi perlu memastikan waktu sebenar bagi meyakinkan untuk berbuka di samping yakin puasa kita sah,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial kenyataan Masjid Al-Khairiyah memohon maaf memaklumkan berlaku masalah teknikal pada paparan digital waktu azan hingga azan Maghrib dilaungkan tiga minit lebih awal.


Pengarang :