AGENDANASIONAL

PKPD Kampung Juara, Pulau Tioman dilanjut hingga 20 April

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang yang dijadual berakhir esok, dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 20 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelanjutan PKPD itu berikutan masih terdapat penularan jangkitan dalam kalangan penduduk di kampung tersebut dengan enam kes baharu direkodkan sehingga semalam.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 513 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 53 kes positif Covid-19 dikesan,” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Sebelum ini kerajaan melaksanakan PKPD di Pulau Tioman, Rompin, Pahang bermula 16 Mac lepas dan tamat pada 29 Mac, namun PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman dilanjutkan sehingga 6 April.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata polis menahan 137 individu atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) semalam dengan 114 daripadanya dikompaun, 10 direman manakala 13 lagi dijamin.

Aktiviti pusat hiburan merupakan kesalahan paling tinggi direkodkan melibatkan 71 individu, diikuti aktiviti rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (32), gagal merekod butiran diri di aplikasi MySejahtera (19), tiada penjarakan fizikal (lima) dan lain-lain kesalahan (10).

Menerusi Operasi Benteng semalam, Ismail Sabri berkata empat pendatang asing tanpa izin ditahan dan tiga bot dirampas manakala 49 buah bot dikesan di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan dengan dua pendatang asing tanpa izin turut diusir.

Seramai 793 individu tiba di pintu masuk antarabangsa semalam dan kesemua mereka dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara. Secara kumulatif seramai 165,036 individu telah pulang sejak 24 Julai 2020.

Menurutnya daripada jumlah itu 7,985 individu telah dikuarantin dan 155,801 orang dibenarkan pulang manakala 1,250 lagi dibawa ke hospital.

– BERNAMA


Pengarang :