Kakitangan perubatan menunjukkan botol vaksin Pfizer-BioNTech di pusat vaksinasi Covid-19 di Singapura pada 8 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Warga emas terima suntikan vaksin perlu terus patuhi SOP

PUTRAJAYA, 29 APRIL: Warga emas yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 diingatkan untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) memandangkan mereka masih berisiko untuk dijangkiti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata meskipun telah divaksinasi, warga emas perlu menggunakan pelitup muka apabila keluar rumah serta mengamalkan penjarakan fizikal kerana vaksin berkenaan berkesan selepas dua minggu suntikan dos kedua.

“Mereka (warga emas) divaksinasi ini masih boleh dijangkiti. Oleh itu, disarankan untuk terus patuh kepada SOP dan elakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, elakkan kawasan sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat,” katanya.

Dr Noor Hisham sebelum ini memaklumkan 40 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas melengkapkan dos vaksinasi mereka, dengan sembilan orang dilaporkan dijangkiti setelah lebih dua minggu menerima dos kedua sementara 31 lagi dijangkiti dalam tempoh kurang daripada dua minggu selepas inokulasi.

Dr Noor Hisham berkata mereka yang dijangkiti selepas divaksinasi hanya mengalami gejala ringan selain ia tidak membawa mudarat dan mampu menyelamatkan nyawa.

“(Vaksin) memberi perlindungan dalaman manakala pematuhan SOP akan memberikan perlindungan luaran daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan memberi keutamaan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan berisiko tinggi yang memiliki sejarah penyakit kronik bermula 19 April.

– BERNAMA


Pengarang :