AGENDANASIONAL

Astro Awani jamin kerjasama penuh kepada polis

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Astro Awani memberi jaminan pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam membantu siasatan berhubung dakwaan penyampaian berita yang menimbulkan kontroversi menerusi program ‘AWANI 745’ baru-baru ini.

Ketua Pengarangnya Ashwad Ismail berkata saluran berita dan ehwal semasa 24 jam itu sentiasa berpandangan bahawa institusi kepolisian negara yang menjamin keharmonian, keselamatan dan kesejahteraan orang ramai perlu dihormati dan dipelihara sepanjang masa.

“Astro Awani kekal komited untuk mengukuhkan kerjasama rapat yang wujud antara komuniti dan polis menerusi laporan yang beretika, seimbang dan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani berkata polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat kes seorang penyampai berita yang dikatakan membuat kenyataan berbaur fitnah di televisyen.

Acryl dipetik oleh media berkenaan sebagai berkata tindakan pembaca berita itu menimbulkan fitnah dan kebencian masyarakat terhadap pihak penguat kuasa, terutama polis.

– BERNAMA

 


Pengarang :