Petugas kesihatan memasukkan sampel calitan ke dalam bekas khas untuk menjalani ujian makmal ketika program Saringan Komuniti Covid-19 Taman Sri Muda, Shah Alam pada 7 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kesan virus guna sampel air liur dalam masa terdekat

PUTRAJAYA, 9 MEI: Orang ramai dijangka dapat melakukan sendiri ujian pengesanan Covid-19 melalui ‘test kit’ yang menggunakan kaedah persampelan air liur dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengenal pasti dua syarikat yang akan membekalkan test kit berkenaan, di mana alat itu sedang dalam proses pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA).

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian terhadap kit itu yang dihasilkan oleh dua syarikat berbeza,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19 di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan yang KKM kini memulakan ujian Covid-19 menggunakan persampelan air liur, di beberapa hospital kerajaan.

Berdasarkan penilaian IMR, kaedah itu mempunyai sensitiviti sebanyak 96.67 peratus dan ketepatan iaitu spesifisiti 100 peratus.

Kaedah persampelan itu dilihat lebih selamat dan tidak invasif, berbanding persampelan dengan kaedah calitan ‘nasopharyngeal’ serta ‘oropharyngeal’, iaitu melalui hidung dan mulut.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sekiranya hasil ujian menggunakan test kit itu menunjukkan individu berkenaan positif Covid-19, mereka masih perlu hadir ke fasiliti kesihatan KKM untuk pemeriksaan lanjut.

“Mereka masih perlu melakukan ujian lain. Kita juga akan melatih petugas kesihatan bagi memastikan kaedah pengambilan sampel air liur dilaksana dengan lebih tepat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pusat dialisis tidak boleh menjadikan syarat wajib vaksinasi untuk pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis.

“Tapi mungkin akan sampai satu masa kita (kerajaan), akan cadangkan golongan yang mempunyai sejarah penyakit komorbid perlu mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :