Orang ramai menunggu giliran untuk mengimbas kod QR aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebelum menjalani Saringan Komuniti secara percuma di Dewan Jenjarum MBSA, Seksyen 11, Shah Alam pada 27 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sambutan makin baik, 7,400 daftar saringan percuma di dua lokasi

SHAH ALAM, 27 MEI: Sebanyak 7,400 pendaftaran awal dalam talian diterima bagi program saringan percuma Covid-19 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan Kota Damansara.

Pendaftaran melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) tidak termasuk anggaran 500 hingga 1,000 individu yang hadir terus di lokasi ujian.

Pegawai pemasaran dan komunikasi korporat Selgate Corporation Sdn Bhd berkata program anjuran Kerajaan Negeri mulai awal bulan ini diterima baik hari demi hari.

“Kita lihat sambutan terhadap program ini agak memberangsangkan apabila orang ramai mula beratur seawal jam 7.30 pagi. Di sini (Seksyen 11) kaedah saringan secara terus dan pandu lalu.

Orang ramai membuat saringan Covid-19 secara pandu lalu di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11, Shah Alam pada 27 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dari hari ke hari, proses saringan berjalan lancar kerana orang ramai diberi slot janji temu selain tahu bagaimana ujian calitan dijalankan,” kata Norafida Zamri.

Program saringan di daerah Petaling diteruskan hari ini di Dewan Jenjarum MBSA Seksyen 11 dan Dewan Serbaguna MBSA U5, Subang Bestari.

Sementara itu, Norafida berkata seramai 50 petugas kesihatan Klinik Selcare ditempatkan di kedua-dua lokasi mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Kami memilih lebih ramai pasukan perubatan untuk mengurangkan kesesakan dan mengawal trafik supaya peserta tidak berada di kawasan saringan terlalu lama,” katanya.

Mulai 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Selangor menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) membolehkan jangkitan dikesan dalam tempoh kurang 30 minit.

 


Pengarang :