Pihak penganjur dan pemain kejohanan badminton disarankan untuk menggunakan bulu tangkis sintetik yang lebih tahan lama dan murah untuk mengurangkan kekejaman terhadap haiwan. Foto: BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Terbuka Malaysia 2021 diteruskan selagi ada penyertaan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan meneruskan penganjuran kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2021 selagi kuota pemain mencukupi.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata kejohanan berstatus Super 750 yang juga platform kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu masih diteruskan walaupun ada negara yang menarik diri daripada kejohanan yang dijadual berlangsung pada 25 hingga 30 Mei ini.

“Selagi ada 32 pemain dan pasangan, kita akan teruskan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dalam negara ketika ini, Kenny berkata BAM akan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan kerajaan bagi meneruskan kejohanan di samping membantu mengekang penularan wabak itu.

Kejohanan Terbuka Jerman pada Mac lepas menjadi kejohanan kelayakan Olimpik pertama dibatalkan manakala kejohanan Terbuka India yang dijadualkan pada 11 hingga 16 Mei di New Delhi ditangguhkan susulan peningkatan kes Covid-19 di negara berkenaan.

Sebagai rekod, pemain nombor dua dunia Viktor Axelsen dari Denmark hari ini dilaporkan diuji positif Covid-19 dan terpaksa menarik diri daripada aksi final Kejohanan Badminton Eropah berlangsung di Kyiv, Ukraine.

– BERNAMA


Pengarang :