Vaksin jenis Sinovac yang dibekalkan oleh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) untuk diberikan kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MSU Medical Centre Shah Alam ketika tinjauan pada 11 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KP kesihatan sasar negara capai imuniti kelompok pada November

SHAH ALAM, 20 JUN: Negara boleh mencapai imuniti kelompok sekitar November atau Disember, bergantung kepada peningkatan suntikan vaksin Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata strategi itu antara yang terpenting ketika ini berikutan kepatuhan tatacara operasi piawai (SOP) dan arahan duduk rumah kurang berkesan, lapor Berita Harian.

“Sebab sudah terlalu lama sangat (situasi pandemik Covid-19). Ini menyebabkan kelesuan mental dan fizikal. Jadi, lebih susah untuk bertahan.

“Bila buka (kelonggaran), kes akan merebak. Jadi vaksin sandaran. Beri masa dua ke tiga bulan ini untuk meningkatkan vaksinasi,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata isu kelewatan bekalan vaksin antara punca situasi Covid-19 di beberapa negeri seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan masih meruncing.

“Masalah vaksin ini isu bekalan. Kerajaan sudah beli dari tahun lepas dan sekarang, kita perlukan bekalan dalam masa terdekat. Jika kita nak beli vaksin pun (sekarang), ia akan dihantar lambat lagi.

“Kerajaan sudah membuat bayaran, tetapi bekalan tidak sampai lagi,” kata Dr Noor Hisham.

Beliau menambah kerajaan membeli 44.4 juta dos vaksin Pfizer untuk 22.2 juta penduduk, Sinovac sebanyak 12.8 juta dos (6.4 juta penduduk) dan Astrazeneca 6.4 juta dos untuk 3.2 juta penduduk.


Pengarang :