Shahrull Samsi membawa cucunya membuat ujian calitan ketika program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan, Petaling Jaya pada 19 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Menangis bawa tiga cucu ke saringan percuma, ‘swasta terlampau mahal’ (VIDEO)

PETALING JAYA, 20 JUN: Seorang nenek membawa tiga cucu termasuk bayi berusia enam bulan ke saringan percuma berikutan tidak mampu membayar ujian Covid-19 di klinik swasta yang “terlampau mahal”.

Shahrull Samsi, 67, bimbang tiga cucunya dijangkiti virus selepas ibu bapa mereka ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisko Rendah (PKRC) Serdang sejak Khamis lalu.

Beliau membawa Muhammad Aisy Ariq Anaqi Fadil Fikri berusia enam bulan; Muhammad Firash Farhan (tiga tahun) dan Muhammad Ziyad Zafran (enam tahun) ke klinik swasta sebelum membatalkan hasrat itu.

“Bila tahu mak dan ayahnya positif, mak cik hendak bawa cucu dengan dua lagi abangnya buat ujian di klinik swasta tapi mahal, terpaksa batalkan.

“Saya bersyukur Kerajaan Negeri bantu. (Klinik) swasta terlampau mahal, RM280. Dah pergi dah, saya tak mampu… banyak (mahal) kan.

“Terima kasih kerana bantu ringankan beban ketika pandemik,” katanya sambil menangis ketika ditemui dalam Saringan Komuniti fasa tiga di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan di sini hari ini.

Selain itu, dua bayi berusia dua bulan antara peserta saringan pertama fasa tiga yang dianjurkan di dewa sama.

Nor Athira Mohd Ihar, 30, memilih waktu tidur Khaira Amira Khairul Naim berusia dua bulan untuk ujian calitan bagi memastikan anaknya tidak menangis.

“Saya sedih bila dimaklumkan suami Khairul Naim Kasrun positif. Disebabkan itu saya dan anak yang baru habis pantang perlu disaring.

“Sejak suami disahkan positif saya hanya fikirkan keadaan anak ketika disaring. Saya risau dia sakit. Alhamdulillah dia tidak menangis dan tidur sahaja ketika proses saringan ini,” katanya.

Tuti Hasti Amir Shah, 35, pula memandu hampir 30 kilometer dari Klang ke Petaling Jaya bagi mengetahui status kesihatan diri dan tiga anak berusia dua bulan hingga lapan tahun selepas suami disahkan positif.

“Suami kini dikuarantin di PKRC, Serdang. Dia yang daftarkan nama kami untuk saringan hari ini.

“Saya harap anak-anak tidak dijangkiti Covid-19. Walaupun terpaksa memandu jauh dengan membawa tiga anak, saya sanggup asalkan tahu status kesihatan “ katanya.


Pengarang :