Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib. Foto BERNAMA
SELANGOR

Polis Shah Alam siasat video tular jiran gaduh isu parkir

SHAH ALAM, 13 JUN: Polis menyiasat pergaduhan sekumpulan jiran di taman perumahan di Seksyen 24, dekat sini yang  tular di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata siasatan mendapati kejadian berpunca daripada isu tanaman serta tempat letak kenderaan.

Menurutnya selepas video berkenaan tular, dua kumpulan terbabit masing-masing membuat laporan polis berhubung perkara itu.

“Semua terlibat telah dipanggil untuk dirakam percakapan. Kedua-dua pihak setuju berdamai dan menarik semula laporan yang dibuat.

“Bagaimanapun masih tetap meneruskan siasatan secara adil dan saksama. Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269, Seksyen 148 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sejak kelmarin video pergaduhan selama empat minit itu tular di media sosial dan menarik perhatian warga maya.

Berdasarkan video itu, kejadian bermula dengan pertengkaran mulut sebelum tolak-menolak selain membaling objek seperti pasu antara satu sama lain.


Pengarang :