AGENSISELANGOR

Promosi di media sosial, Tourism Selangor bantu industri pelancongan

SHAH ALAM, 17 JUN: Tourism Selangor mengadakan kempen mempromosikan produk keluaran industri pelancongan di media sosial.

Pengurus komunikasi korporatnya berkata inisiatif itu diambil dalam membantu industri terbabit untuk menjana pendapatan.

“Terdapat sesetengah hotel yang mengeluarkan produk dengan membuat tawaran penghantaran makanan kepada pelanggan.

“Kita membantu dengan menguar-uarkan inisiatif penggiat industri ini di media sosial kepada orang ramai,” kata Ahmad Nazri Tashriq Rahmat kepada Selangorkini hari ini.

Beliau berkata agensi itu akan mengumumkan agihan peruntukan sebanyak RM2.55 juta bantuan kewangan kepada golongan tersebut pada 1 Julai hadapan.

“Tourism Selangor akan menjelaskan pelaksanaan bantuan ini dengan lebih terperinci dan dijalankan secara berperingkat,” katanya.

Pada 9 Jun lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan empat inisiatif bantuan kewangan sektor pelancongan iaitu geran bantuan kewangan, baucar pelancongan, program latihan digital dan bantuan kewangan kepada persatuan pelancongan.


Pengarang :