EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Saringan Komuniti kesan lebih 3,000 kes positif, ramai tiada gejala

 

MORIB, 4 JUN: Seramai 3,168 daripada 87,903 individu yang menyertai Program Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Negeri disyaki positif wabak.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pengesanan itu hasil saringan menggunakan kit pantas antigen (RTK-Ag) di 42 lokasi sejak 8 Mei sehingga semalam.

“Tumpuan utama kita antaranya untuk mengesan awal individu yang nampak sihat atau tiada gejala tetapi merupakan ‘pembawa senyap’ wabak dalam komuniti.

“Kita mahu kesan seramai mungkin `pembawa senyap’, sebab itu kita memperluas saringan di seluruh negeri,” katanya selepas meninjau Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) hari ini.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan penyertaan lebih 100,000 penduduk di seluruh 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir 10 Jun.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Pendaftaran saringan percuma boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), klik butang sihat dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.


Pengarang :