Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kit ujian kendiri bantu orang ramai kesan status jangkitan Covid-19

SHAH ALAM, 20 JULAI: Penggunaan kit ujian kendiri Covid-19 membantu orang ramai mengesan dan mengetahui status jangkitan wabak berkenaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook memaklumkan peralatan tersebut membantu memudahkan pengesanan dan pengawalan jangkitan sekali gus mengurangkan bebanan petugas kesihatan.

“Ia tidak menggantikan fungsi pengesanan tindak balas berantai polimeras masa nyata (RT-PCR) tetapi boleh digunakan untuk tujuan berkaitan bagi mendapatkan keputusan dengan cepat sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Bagaimanapun KKM menjelaskan kit ujian tersebut perlu digunakan dengan cara yang betul mengikut arahan dan dilupuskan dengan tatacara selamat.

Peralatan tersebut membantu untuk saringan kendiri, kontak rapat dan yang bersesuaian.

Ia boleh didapati di farmasi atau fasiliti swasta berdaftar dan perlu dipastikan mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) KKM.

Kerajaan Selangor menerusi Selgate Healthcare turut menambah baik fungsi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi membantu dalam pengawasan kendiri pesakit Covid-19.

Kerjasama ini melibatkan talian khas dengan pusat panggilan yang beroperasi 24 jam bagi membimbing penggunaan kit ujian kendiri berkenaan.


Pengarang :