Pengasas Bizmilla Wedding Centre Mila Jirin. Foto Facebook Mila Jirin
AGENDANASIONAL

Pengusaha perkahwinan perlu kreatif, berani cebur bidang baharu

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pengusaha majlis perkahwinan perlu kreatif dan berani mencuba bidang lain ketika larangan sebarang aktiviti sosial dikuatkuasakan.

Pengasas Bizmilla Wedding Centre berkata golongan itu perlu bangkit menyahut cabaran baharu demi ekonomi sendiri di samping menjaga kebajikan pekerja.

“Kita kena pelbagaikan perniagaan. Gunakan peralatan atau kemudahan yang ada termasuk tenaga kerja supaya tidak perlu keluarkan modal lain.

“Dalam pandemik Covid-19 ini sebenarnya ada rezeki baharu. Allah ilhamkan idea lain yang kita boleh teruskan walaupun perniagaan sebelum ini kembali beroperasi,” kata Mila Jirin pada Bual Bicara bertajuk Covid-19 & Industri Majlis Perkahwinan.

Program disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV semalam.

Mila yang juga penyanyi berkata ketika kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, beliau terpaksa menanggung sejumlah kerugian memandangkan sebarang penganjuran majlis tidak dibenarkan.

“Kita kena pulangkan duit tempahan kira-kira 900 majlis membabitkan jutaan ringgit. Perkara paling penting ketika itu adalah perbincangan kedua-dua pihak.

“Alhamdulillah pelanggan faham apabila penerangan diberikan. Kita tunjukkan kos dikeluarkan dan minta bayaran balik dilakukan berperingkat,” katanya.


Pengarang :