Bilangan pesakit Covid-19 dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi semakin bertambah setiap hari di Hospital Sungai Buloh. Foto Facebook Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Pesakit bukan Covid-19 ke swasta, Hospital Selayang tambah katil, tabung oksigen

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah kapasiti katil pesakit Covid-19 dan tabung oksigen di Hospital Selayang menerusi ‘Operasi Selayang’.

Timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) berkata operasi itu merupakan strategi di bawah penubuhan Pasukan Petugas Khas Lembah Klang (GKVSTF) bagi mengurangkan lonjakan kes Covid-19 di wilayah tersebut.

“Hospital Selayang akan ditukar sepenuhnya menjadi hospital Covid-19 di kawasan Lembah Klang. Pesakit bukan Covid-19 di hospital terbabit akan dipindahkan ke hospital swasta untuk meningkatkan kapasiti katil pesakit kategori tiga, empat dan lima.

“Operasi Selayang dimulakan dan akan selesai dalam 48 jam untuk menyediakan 450 katil selain memastikan bekalan oksigen, ubat-ubatan dan bekalan lain tidak terganggu,” Datuk Dr Chong Chee Kheong menerusi kenyataan.

Tambah beliau, GKVSTF akan memberi tumpuan penuh kepada penjagaan klinikal, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pemantauan kendiri di rumah.

“Pasukan petugas khas juga menumpu kepada epidemiologi, logistik perubatan dan umum, sistem sokongan sosial petugas kesihatan, sumber manusia dan kewangan serta komunikasi strategik,” katanya.

 


Pengarang :