Petugas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) lengkap berpakaian pelindung diri sebelum memasuki sekitar kawasan Pangsapuri Damai, PJS 8 ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 18 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PKPD: Penduduk Apartment Damai selesai terima vaksin

SHAH ALAM, 25 JULAI: Proses pemberian vaksin kepada 1,279 penduduk Apartment Damai mukim Damansara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selesai semalam.

Pegawai daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 525 penerima adalah warganegara manakala bukan warganegara 754 penerima.

“Kita telah maklumkan kepada pihak Majlis Keselamatan Negara bahawa kita telah selesai semua proses dan mencadangkan PKPD ini ditamatkan lebih awal,” kata Datuk Johary Anuar kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat Najmuddin Jemain memaklumkan proses saringan 1,400 penduduk Pangsapuri Merpati A, Jalan Pandan Indah mukim Ampang yang dikenakan PKPD selesai.

“Kita bersyukur proses saringan berjalan lancar. Langkah seterusnya adalah proses pemberian vaksin yang akan dijalankan pada Khamis iaitu 29 Julai,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor dikenakan PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.


Pengarang :