AGENDANASIONAL

Program jaminan bekalan makanan lancarkan kegiatan ekonomi pertanian

SHAH ALAM, 8 JULAI: Program jaminan bekalan makanan adalah langkah dalam memastikan kegiatan ekonomi pertanian berjalan lancar, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan ekonomi dalam sektor berkaitan agak rendah iaitu kira-kira 2.25 peratus dengan kadar guna tanah di bawah tiga peratus.

“Dengan adanya program jaminan bekalan makanan dapat melahirkan usahawan moden petani yang mempunyai kawasan pertanian dengan teknologi fertigasi dan hidroponik.

“Usahawan tani muda dapat kenal pasti kawasan tanah sedia ada untuk memastikan kegiatan ekonomi dipertingkatkan dan bekalan makanan mencukupi,” katanya dalam siaran langsung Ruang Bicara di Facebook Bernama TV malam tadi.

Pada 9 Jun lalu, Amirudin mengumumkan peruntukan lebih RM13 juta merangkumi program jaminan bekalan makanan (RM10 juta), Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

Pelan keseluruhan bernilai RM551.56 juta itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.


Pengarang :