Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau ke program pemberian vaksin Selangor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan, Gombak pada 21 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Vaksin Selangor: Lebih 78,000 suntikan dos pertama diterima rakyat

GOMBAK, 21 JULAI: Lebih 78,000 dos pertama vaksin disuntik kepada rakyat negeri ini menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu dijangka meningkat susulan tambahan bekalan 70,000 lagi dos yang sedang diselaras Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Selvax sebenarnya kita sudah sampai (pemberian) antara 70,000 hingga 78,000 dos pertama. Ada lagi 70,000 dan sekarang tengah proses masukkan (antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan).

“Kita percaya dengan program yang ada (Selvax), kita dapat tambah apa yang dilaksana Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF),” katanya selepas meninjau proses suntikan dos kedua di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Sri Siantan di sini hari ini.

Beliau menambah seramai 700,000 atau 14.75 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos sehingga semalam.

Amirudin menjelaskan lebih 2.7 juta dos vaksin sudah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan Kerajaan Selangor kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Program percuma Selvax Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 rakyat yang masih belum divaksin membabitkan 500,000 dos.

Pada 16 Julai, Amirudin memaklumkan semua warga Selangor yang telah mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Beliau berkata keputusan dicapai dalam Mesyuarat Pelan Vaksinasi Lembah Klang Raya selain bersetuju usaha Kerajaan Negeri melalui program Selvax dirangkumkan dalam kerangka PICK.


Pengarang :