Pasangan selebriti Zamarul Hisham dan isterinya, Diana Rafar ketika diwawancara Media Selangor berhubung program Vaksin Selangor (Selvax) di kediaman mereka di Glenmarie, Shah Alam pada 5 Ogos 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Diana Rafar kagum suntikan program Vaksin Selangor pantas, selesa (VIDEO)

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pelakon Diana Rafar memuji kecekapan program Vaksin Selangor (Selvax) yang dianggap mudah, cepat dan selesa.

Tidak sangka memperoleh tarikh suntikan selepas tiga hari mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), Diana mulanya bimbang untuk disuntik berikutan anaknya masih menyusu.

Namun, beliau, nama sebenar Adiana Abdul Rafar, berkata penerangan doktor melenyapkan kekhuatirannya terhadap risiko kesihatan anak berusia 11 bulan jika menerima vaksin.

“Sangat-sangat terperinci penerangan dari doktor. Jadi, kerisauan itu hilang kerana penerangan mereka jelas terutama bagi saya yang mempunyai anak masih menyusu serta mereka yang mengandung,” katanya kepada Selangorkini.

View this post on Instagram

A post shared by Diana Rafar (@dianarafar)

Pelakon filem Susuk itu juga risau jika terlalu ramai orang di pusat pemberian vaksin tetapi mendapati suasana terkawal dan tatacara operasi piawai juga ketat.

“Diana ucap terima kasih kepada Selvax sebab memudahkan kerja sebab kita takut vaksin ramai-ramai tetapi alhamdulillah, mereka atur waktu dengan cantik.

Pelakon Diana Rafar selepas menerima suntikan dos pertama program Vaksin Selangor (Selvax) pada 22 Julai 2021.

“Kami datang dekat jam 2 petang tapi jam 2.15 petang selesai,” kata Diana yang menerima suntikan pada 22 Julai di PPV Skypark Subang di sini bersama suami Zamarul Hisham. Suntikan dos kedua ditetapkan pada 12 Ogos.

Diana menjelaskan mereka menerima panggilan daripada Persatuan Seniman Malaysia mengenai program Selvax sebelum terus membuat pendaftaran.

Bekas ahli kumpulan rap GIM turut menasihati orang ramai yang belum menerima vaksin supaya segera berbuat demikian dan tidabaikan dakwaan negatif terhadap vaksin.

“Kita kena ambil langkah berjaga-jaga, kita usaha, kita ikhtiar supaya kita semua selamat. Kita jaga kita,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Manakala sebanyak dua juta dos vaksin pula kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengawal perebakan wabak di tempat kerja menerusi Selvax Industri.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

 


Pengarang :