Orang awam mematuhi arahan tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal ketika tinjauan di sebuah pasar raya sekitar ibu kota pada 23 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Elak jangkitan Covid-19, wanita hamil diseru ikuti tujuh nasihat KKM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Wanita hamil disaran mengikut tujuh langkah pencegahan daripada mendapat jangkitan Covid-19 yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan berkata mereka juga perlu melengkapkan suntikan vaksin sebelum trimester ketiga bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti.

“Para suami mestilah memberi sokongan kepada pasangan bagi memastikan mereka mendapat suntikan vaksin Covid-19.

“Ibu hamil yang masih belum menerima janji temu boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat bagi mempercepatkan proses janji temu,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Isu ibu hamil menarik perhatian umum apabila selebriti Siti Sarah Raissuddin yang mengandung tujuh bulan meninggal dunia kelmarin setelah ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) beberapa hari sebelumnya.

Isteri pelawak Shuib Sepahtu yang melahirkan anak Jumaat lalu tidak sempat mengambil vaksin kerana sedang hamil. Pasangan itu bersama tiga cahaya mata disah positif pada 27 Julai.

Berikut adalah langkah pencegahan yang digariskan KKM:

1. Kekal berada di rumah kecuali untuk tujuan penting dan perlu sahaja;

2. Amalkan norma baharu serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam mencegah jangkitan Covid-19;

3. Ahli keluarga perlu diingatkan untuk tidak menjadi punca jangkitan kepada ibu hamil dengan mematuhi SOP ketika berada di luar rumah;

4. Jika terdapat ahli keluarga yang menjalani kuarantin di rumah, pastikan mereka patuh sepenuhnya kepada prosedur kuarantin;

5. Sekiranya telah disahkan positif Covid-19, semua ibu hamil, termasuklah yang tidak bergejala, mesti hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk menjalani penilaian oleh doktor. Ikut nasihat doktor jika perlu dipantau di fasiliti kesihatan;

6. Sekiranya ibu hamil berada di rumah dan gejala bertambah teruk, ibu perlu segera ke klinik atau CAC berdekatan;

7. Jika berlaku kecemasan, boleh hubungi talian 999 atau segera ke hospital berdekatan. Ibu hamil atau ahli keluarga boleh juga menekan butang SOS di aplikasi MySejahtera jika bantuan segera diperlukan.


Pengarang :