Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin.
AGENDANASIONAL

MB ucap takziah, ketua Pemuda Amanah meninggal dunia akibat Covid-19

SHAH ALAM, 6 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah atas pemergian ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin yang meninggal dunia akibat Covid-19 hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan sahabat Allahyarham.

“Innalillahiwainnailahirrajiun. Menerima perkhabaran dukacita, sahabat saya saudara @shazni_munir telah menghembuskan nafas terakhir.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Takziah diucapkan kepada keluarga dan sahabat Almarhum,” katanya.

Shazni Munir meninggal dunia sebentar tadi. Perkara itu diumumkan oleh Amanah dalam media sosial rasminya.

“Mohon doa dan sokongan daripada semua agar keluarga beliau kuat lalui ujian ini,” kata Setiausaha Pemuda Amanah ‘Asim ‘Abdullah.

Pada 24 Julai lalu Shazni, 34, kritikal setelah dijangkiti Covid-19 pada pertengahan bulan itu.

Allahyarham yang juga ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) meninggalkan tiga orang anak dan seorang balu.


Pengarang :