Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Polis cari sekumpulan lelaki terlibat kes gaduh

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Polis sedang mengesan kesemua individu terlibat dalam video tular memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh menggunakan senjata dalam satu kejadian dipercayai berlaku di kawasan perumahan di Flat Sri Timah, Balakong.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata seorang pegawai polis telah melihat video tular berdurasi satu minit 32 saat tersebut di media sosial dan membuat laporan berhubung perkara itu pada 9 pagi semalam.

“Dalam video tersebut memaparkan sekumpulan lelaki menggunakan senjata dipercayai besi atau senjata tajam sedang bergaduh. Motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek sedang dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 269 Kanun Keseksaan.

Mohd Zaid turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes Insp Norhafiza Borhan di talian 03-8911 4222.

– BERNAMA


Pengarang :