Pelajar, Ahmad Aidid Hakimi sedang melihat portal kitaselangor.my yang dilancarkan Kerajaan Negeri bagi memudahkan orang ramai memohon bantuan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 di Taman Desa Cheras pada 19 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Portal kitaselangor.my mudahkan mohon 24 inisiatif negeri

SHAH ALAM, 19 OGOS: Memohon inisiatif di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 kini semakin mudah dan hanya di hujung jari dengan pelancaran portal kitaselangor.my.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berkata orang ramai hanya perlu menekan butang “mohon di sini” dan memilih bantuan di halaman menampilkan 24 inisiatif bawah pakej berkenaan.

Menurut Dr Fahmi Ngah pemohon kemudiannya perlu memasukkan butiran peribadi atau syarikat, menekan “butang hantar” dan akan menerima pemberitahuan penerimaan permohonan melalui e-mel.

“Setiap permohonan bantuan atau inisiatif akan sampai terus kepada bahagian yang menguruskannya.

“Orang ramai juga boleh merujuk perkembangan pelaksanaan setiap inisiatif bagi mengetahui sama ada kuota bantuan masih ada atau telah penuh,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Fahmi berkata portal dibangunkan SSDU dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor itu menerima 5,800 permohonan hanya selepas dua hari dilancarkan.

“Ini satu perkembangan baik dan memudahkan warga negeri ini memohon bantuan tanpa perlu merujuk  ke satu-satu agensi seperti sebelum ini.

“Ini selaras hasrat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang mahu memudahkan rakyat memohon setiap inisiatif disediakan Kerajaan Negeri,” katanya.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, usahawan, pelajar dan penggiat pelancongan.


Pengarang :