Atlet pelari paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada 3 Sept 2021. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Dek Wan mara peringkat akhir, tekad pertahan emas esok

TOKYO, 3 SEPT: Juara bertahan, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menepati ramalan apabila berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir acara 100 meter lelaki T36 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik hari ini.

Mohamad Ridzuan yang lebih dikenali dengan “Dek Wan” mencatatkan masa 12.06 saat (s) pada saringan kedua dalam pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Olimpik.

Pelari berusia 33 tahun ketika ditemui Bernama selepas lariannya percaya mampu berlari lebih pantas dan akan berusaha untuk mempertahankan pingat emasnya esok.

“Ya, Dek Wan percaya boleh lari lebih laju dan nak menang emas esok” katanya.

Pencabar terdekatnya, Yang Yifei dari China menamatkan lariannya dengan merekodkan masa 12.10s manakala pelari Jawatankuasa Paralimpik Rusia, Evgenii Shvetsov di kedudukan ketiga dengan masa 12.26s.

Mohamad Ridzuan menduduki tempat keempat secara keseluruhan dalam senarai lapan pelumba daripada kedua-dua saringan, yang layak ke final.

James Turner dari Australia mencuri tumpuan apabila bukan sahaja muncul pelari terpantas, malah beliau turut memecahkan rekod Paralimpik milik Mohamad Ridzuan di Rio 2016 iaitu 12.07s, dengan catatan baharu 11.87s.

James juga merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 11.72s dalam Kejohanan Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019.

Aksi final akan berlangsung pagi esok, kira-kira 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia).

-BERNAMA


Pengarang :